1. Saya merujuk kenyataan media oleh 4 orang Ketua Pemuda daripada parti komponen Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Howard Lee, Akmal Nasrullah Mohd Nasir and Mohd Sany Hamzan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji Wan Hussin dan menaikkan hukuman penjara kepada 12 bulan.

2. Perbuatan mereka mempersoalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi adalah suatu kesalahan menghina mahkamah dan boleh dihukum penjara

3. Aturan 52 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 menetapkan bahawa suatu prosiding untuk perintah hukuman terhadap pelaku menghina mahkamah, atau disebut sebagai Perintah Pengkomitan boleh dibuat samada oleh Mahkamah sendiri atau difailkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kausa atas kes tersebut.

4. Dalam hal ini, Pendakwaraya mempunyai hak untuk menfailkan permohonan kepada mahkamah untuk perintah tersebut terhadap keempat-empat Ketua Pemuda yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah.

5. Tommy Thomas seharusnya bertindak segera sebagai pihak yang mempunyai kausa atas kes ini lebih-lebih lagi apabila kenyataan media Pemuda PH turut mengkritik dan mendesak pihak Pendakwaan menjelaskan tindakan mereka memohon hukuman berat terhadap Wan Ji. Tommy masih berpeluang membuktikan beliau adalah Peguam Negara, bukanlah Peguam PH.

6. Penghinaan terhadap mahkamah ini dianggap serius apabila ianya mampu merosakkan dan mencampuri tadbir urus sistem keadilan dalam mahkamah. Apatah lagi pertikaian yang ditimbulkan boleh melemahkan keyakinan umum terhadap keadilah mahkamah dan tadbir urus keadilan.

7. Saya mengulangi pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa DAP tidak wajar mengajak rakyat bersolidariti keatas pesalah yang sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah, lebih-lebih lagi ianya kesalahan penghinaan terhadap institusi Raja yang menjadi payung kepada negara dan pemelihara agama Islam.

8. Jika sewaktu menjadi pembangkang, Pakatan Harapan tegar menentang undang-undang, kini sebagai kerajaan mereka masih mempertikaikan sistem perundangan dan keadilan negara. Maka sememangnya mereka bukanlah rakyat yang patuh kepada undang-undang / Law Abiding citizen!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)

UMNO Mampu Selamatkan PPBM Daripada Menjadi Parti Minoriti

7 Julai 2019

1. Saya amat bersetuju dengan pandangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Tun Dr Mahathir bersama kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai UMNO dan seterusnya bersama-sama muafakat ummah antara UMNO dan PAS sekiranya benar-benar mahu menyelamatkan Melayu daripada perpecahan.

2. Dr Asyraf yang membalas pelawaan Tun Mahathir untuk semua parti Melayu menyertai PPBM amat rasional untuk menawarkan parti politik sekecil PPBM menyertai gabungan kerjasama parti yang lebih besar antara UMNO dan PAS.

3. Melihat kepada analisis pilihan raya umum 2018, jumlah undi Melayu kepada BN dan PAS adalah hampir 75%. Maka wajarlah disimpulkan bahawa parti-parti inilah yang menjadi pilihan orang Melayu dan tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan perpecahan orang Melayu.

4. Secara peribadi saya melihat bahawa Tun Mahathir tidak sesuai bercakap mengenai perpaduan Melayu, melihat kepada sejarah perpecahan pada zaman Semangat 46, krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, perpecahan sewaktu penubuhan PKR dan PPBM pada hari ini yang menjadi faktor perpecahan parti politik Melayu di negara ini.

5. Jika semata-mata untuk menjadi sebahagian agenda peribadi PPBM menentang team Anwar Ibrahim yang tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri ke-8, rasanya tidak perlulah menggunakan seruan perpaduan Melayu. Ianya bukanlah perpaduan sebagaimana UMNO dan PAS sedang usahakan.

6. UMNO tidak akan terlibat dengan mana-mana krisis dalaman Pakatan Harapan. Cukuplah tumpuan UMNO kepada perpaduan Melayu melalui kerjasama UMNO dan PAS.

7. Rakyat Malaysia sudah muak dengan cerita Mahathir dan Anwar. Sudah 21 tahun drama bersiri ini tak pernah habis.

8. Jika benar Tun Mahathir betul-betul mahukan perpaduan orang Melayu, belum terlambat rasanya untuk PPBM menyertai UMNO. UMNO sedia selamatkan PPBM daripada menjadi parti minoriti Melayu!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia)

Kerajaan Perlu Jujur Kepada Rakyat Mengapa Tarik Balik Kes Tuntutan Pulau Batu Puteh

3 Julai 2019.

1. Semalam Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya semasa menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu Parlimen bahawa kerajaan akan mengemukakan semakan kehakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh.

2. Saya terpanggil untuk meneliti jawapan tersebut samada ianya dibuat dengan merujuk kepada Peguam Negara dan berlandaskan kepada undang-undang ataupun semata-mata cakap kosong untuk menghiburkan Ahli-ahli Parlimen.

3. Keputusan asal mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh ini telah dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang mana ianya telah berpihak kepada Singapura.

4. Saya difahamkan bahawa selepas hampir 10 tahun, kerajaan British telah mengeluarkan sejumlah lebih kurang 3000 dokumen berstatus sulit simpanan arkib Perpustakaan Negara United Kingdom di London berkenaan pulau ini. Pasukan Malaysia diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah meneliti kesemua dokumen dan mendapati ada 3 dokumen penting telah membawa kepada penemuan bukti baru mengenai pemilikan pulau tersebut pada pertengahan tahun 2016.

5. Artikel 61 (4) Statute of the ICJ menyebut bahawa semakan kehakiman boleh dibuat jika terdapat penemuan atau bukti-bukti baru ditemui yang bercanggah dengan keputusan yang dibuat di ICJ dan hendaklah dibuat dengan segera dalam tempoh 6 bulan daripada penemuan tersebut.

6. Artikel 61 (5) selanjutnya menetapkan bahawa semakan kehakimam hanya boleh dibuat dalam tempoh 10 tahun daripada tarikh keputusan dibuat.

7. Atas sebab itulah Tan Sri Apandi sebagai Peguam Negara ketika itu segera mendapatkan arahan kabinet dan menfailkan semakan kehakiman pada Februari 2017 yang mana ICJ menetapkan 11 Jun 2018 untuk hujahan kes. Malah saya difahamkan bahawa hujahan bertulis daripada pasukan peguam negara telah pun dibuat dan difailkan.

8. Namun pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018 menyebabkan segala keputusan kerajaan bertukar dan difahamkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah menarik balik semakan kehakiman di ICJ tanpa merujuk kepada Peguam Negara mahupun kabinet terlebih dahulu.

9. Selepas tamat tempoh rayuan 10 tahun, segala rayuan dan semakan kehakiman adalah mustahil. Oleh itu, apakah kaedah semakan kehakiman dan tuntutan yang dimaksudkan oleh Datuk Marzuki semalam? Ataupun beliau cuba menipu rakyat dan menutup kelemahan kerajaan Pakatan Harapan yang gagal mempertahankan kedaulatan negara?

10. Isu Pulau Batu Puteh ini bukanlah semata-mata mengenai persempadanan negara, tetapi ianya melibatkan kedaulatan dan maruah negara.

11. Dalam hal ini, jelas memperlihatkan Pakatan Harapan gagal mentadbir bukan sahaja urusan dalam negara, tetapi kedaulatan negara turut tergadai. Di mana pakar undang-undang mereka? Dimana Peguam Negara mereka di saat negera memerlukan satu keputusan yang penting untuk dibuat.

12. Jika sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan 10 sebab Tommy Thomas harus meletakkan jawatan, mungkin hari ni sudah boleh ditambah menjadi 11.

13. Justeru itu Kluster Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan supaya bercakap benar berkenaan isu Pulau Batu Puteh dan jelaskan kepada rakyat di mana punca kegagalan mereka sehingga tergadai kedaulatan negara semudah itu.

14. Kedaulatan negara adalah suatu yang serius. Jangan jadikan Pilihanraya seperti pemilihan Ketua Kelas. Jika tidak tahu mentadbir negara, jangan pula merosakkan negara.

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM.

Jangan Berjangkit Wabak Dibawa Pakatan Harapan.

1. Saya menyambut baik saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya ahli-ahli UMNO kekal fokus kepada gerak kerja parti, membela nasib rakyat yang tertindas di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

2. Kembalinya Dato’ Seri Zahid Hamidi menerajui parti sememangnya bukanlah suatu yang luar biasa lebih-lebih lagi beliau merupakan Presiden parti yang dipilih melalui pemilihan yang sah.

3. Seharusnya ia dilihat sebagai kekuatan kepada parti melalui gandingan tokoh hebat daripada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Setiausaha Agung serta ramai pasukan yang sedia kekal istiqamah dalam parti sejak setahun parti ini tidak lagi menjadi kerajaan.

4. Ahli-ahli UMNO tidak perlulah berjangkit dengan wabak penyakit perpecahan yang semakin melanda gabungan parti Pakatan Harapan. Biarlah mereka dengan Perdana Menteri dan Bakal Perdana Menteri mereka. Kita fokus hanya kepada nasib rakyat yang telah menyesal memilih dalam PRU lalu.

5. Ramai yang iri hati melihat perpaduan UMNO – PAS yang menuju realiti. Ternyata, perpaduan sebegini mendapat keberkatan dan memperlihatkan penyatuan ummah yang diimpikan oleh rakyat Malaysia. Usah biarkan hasad dengki musuh memecah-belahkan perpaduan dalaman UMNO sendiri.

6. Sebagaimana saranan Dr Asyraf, UMNO mampu bangkit kembali jika kepentingan parti diletakkan di hadapan, melebihi kepentingan peribadi.

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)

UMNO JANGAN HILANG FOKUS – DR ASYRAF WAJDI.

Pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti tidak harus mencetuskan polemik baru di kalangan ahli kerana ia selaras dengan Perlembagaan Parti dan hak mutlak beliau selaku Presiden Parti yang sah.

Di kala Regim Pakatan Harapan (PH) yang haru biru dan sedang mengalami pergolakan dalaman yang kronik, UMNO harus menumpukan usaha untuk membela nasib rakyat yang kian sengsara dengan pelbagai dasar PH yang menyusahkan mereka.

Keutamaan kini juga harus difokuskan kepada usaha penyatuan ummah dan kerjasama UMNO-PAS yang amat didambakan rakyat, demi mempertahankan martabat Agama dan maruah Bangsa yang semakin terobek di bawah Regim PH.

Dengan kesatuan yang utuh, kesetiaan pada idealisme perjuangan dan meletakkan kepentingan parti melebihi peribadi, insyaallah, UMNO mampu bangkit kembali demi rakyat dan negara tercinta!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

1 Julai 2019

#BangkitKembali
#PemudaTerasKebangkitan

UMNO JANGAN HILANG FOKUSPengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO…

Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Ahad, 30 Jun 2019

Jangan Gunakan Kursus Perdana Haji Sebagai Medan Menghasut Rakyat

24 Jun 2019

1. Semalam Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan mengenai risalah-risalah berbentuk hasutan mengenai penyelewengan Tabung Haji yang diedarkan kepada bakal jemaah haji yang menyertai Kursus Perdana Haji yang bermula minggu ini.

2. Belum lagi terbukti apa-apa penyelewengan yang didakwa, kesemua fitnah-fitnah jahat ini telah disebarkan kepada jemaah. Apa motif sebenar kerajaan menggunakan jalan sebegitu sedangkan kursus haji sepatutnya menekankan soal ibadah dan persediaan jemaah menghadapi cabaran hampir dua bulan di tanah suci.

3. Sejak April lalu, Dr Asyraf Wajdi konsisten mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kesemua dakwaan terhadap pentadbiran Tabung Haji, lebih-lebih lagi ianya dikatakan berlaku pada zaman beliau sebagai Timbalan Menteri yang menjaga Tabung Haji. Tuduhan-tuduhan yang serius sebegini bukanlah boleh disiasat di kedai kopi sebagaimana berlaku hari ini.

4. Seharusnya semua tuduhan ini disiasat melalui saluran yang sah di sisi undang-undang, bukannya melalui lontaran fitnah-fitnah jahat sebegini yang hanya membentuk persepsi negatif bukan sahaja kepada Tabung Haji, malah kepada Kerajaan sendiri.

5. Sekalipun tidak mahu melalui RCI, kita ada saluran mahkamah dan saya percaya sistem perundangan negara ini amat telus menyiasat kes-kes sebegini, melainkan jika kerajaan takut lebih banyak kebenaran yang terbongkar tidak menyebelahi fitnah mereka.

6. Sekalipun untuk menutup kelemahan kerajaan hari ini, risalah-risalah berbentuk fitnah seperti ini takkan mampu memadam sejarah bahawa kerajaan PH memberikan hibah Tabung Haji paling rendah, tidak setanding dengan kelantangan mereka mengkritik.

7. Saya nasihatkan pengurusan Tabung Haji terutama kepada Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof untuk berhenti menghentam kerajaan terdahulu dengan cara pengecut sebegini. Sebaiknya Mujahid bekerja lebih kuat lagi supaya Tabung Haji mampu memberikan hibah kepada jemaah dan pendeposit setanding kerajaan terdahulu.

Nik Saiful Adli Burhan
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)

Kenyataan Media Exco Pemuda UMNO Malaysia

Cerita 1MDB Buat Tutup Krisis Dalaman PH; KP SPRM Mainkan Peranan Dengan Baik

21/06/2019

1. Permainan politik Pakatan Harapan hanyalah semudah formula campur tolak matematik. Rakyat boleh menjangka segala kesudahan cerita mereka, tak ubah seperti drama Melayu bersiri.

2. Hari ini Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Latheefa Koya sudah mula dilihat bekerja menyerang 1MDB. Senarai 41 syarikat dan individu yang dikeluarkan SPRM hari ini kebanyakannya ialah yang berkaitan dengan UMNO termasuk UMNO Negeri dan Bahagian.

3. Kerajaan PH dilihat sudah kehabisan modal apabila kembali bermain isu 1MDB yang sudah tak laku di mata rakyat. Masing-masing sudah kepanasan melihat kerjasama UMNO dan PAS dalam muktamar minggu ini.

4. Selepas setahun akaun-akaun berkaitan UMNO dibekukan, masih belum jumpa apa-apa. Maka eloklah SPRM tumpukan kepada kes lain pula.

5. Kalaulah menimbulkan isu 1MDB ini semata-mata untuk alihkan perhatian rakyat daripada cerita lucah yang dikaitkan Azmin Ali dan Haziq, rasanya mereka boleh fikir sendiri drama mana yang lebih menarik penonton.

6. Tetapi jika mereka merasakan isu 1MDB ini masih boleh diulang tayang bagi menutup krisis dalaman antara parti-parti komponen PH, mereka silap. Saya nak ingatkan mereka dengan perumpamaan Melayu, bangkai gajah takkan mungkin boleh ditutup dengan nyiru. Walau tak kelihatan bangkai, baunya pasti ada.

7. Lebih ironik, pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM benar-benar menepati jangkaan ramai iaitu menjadikan SPRM alat politik PH. Banyak lagi kes rasuah lain untuk disiasat, mengapa parti politik lawan juga yang menjadi sasaran. Bagaimana dengan kes terowong dasar laut? Bagaimana dengan rasuah dalam pemilihan PKR baru-baru ini yang beliau sendiri dedahkan?

8. Banyak lagi isu rasuah dalam PH termasuk melibatkan Setiausaha Politik Mat Sabu, pembelian Merdeka Palace Sarawak dan arahan penyaluran dana kepada parti oleh Menteri yang didedahkan KP SPRM sebelum ini. Jelas bahawa meletakkan jawatan parti takkan menjadikan Latheefa Koya bebas dari PKR dan PH.

9. Pada 9 Jun lalu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Latheefa Koya menyiasat 7 isu rasuah terbesar yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan. Namun semuanya didiamkan begitu sahaja. Akhirnya parti lawan juga yang menjadi sasaran.

10. Satu persatu badan penguatkuasa kerajaan dijadikan alat politik untuk menguburkan UMNO. Akhirnya prinsip Rule of Law mereka yang terkubur. Mungkin selepas ini mereka mahu gunakan JPJ periksa cermin gelap UMNO? Ataupun mungkin gunakan Kementerian Kesihatan pula untuk periksa nyamuk belakang rumah orang UMNO! Tak mustahil.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)