1. Perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hari ini dan Peguam Negara Tommy Thomas minggu lalu sebaik sahaja jatuhnya Kerajaan PH adalah satu isyarat jelas kepada rakyat bahawa lantikan-lantikan yang dibuat kerajaan PH sebelum ini berasaskan kepentingan politik, bukannya merit.
  2. Kedudukan penjawat awam mengikut undang-undang merupakan individu yang menjalankan kerja-kerja eksekutif yang mana badan eksekutif negara ini adalah diketuai oleh Yang Di-pertuan Agong. Mereka seharusnya bekerja untuk kerajaan, bukannya untuk parti
  3. Maka benarlah apa yang dirisaukan oleh Pemuda UMNO sebelum ini bahawa pelantikan-pelantikan jawatan penting melibatkan penguatkuasaan undang-undang ini akan menjadikan badan pelaksana undang-undang sebagai wayang dan “puppet” semata-mata jika pada hakikatnya ia dikuasai oleh parti-parti politik.
  4. Saya amat bersetuju dengan 5 cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini antaranya untuk meletakkan SPRM di bawah kuasa Parlimen dan untuk melantik jawatan-jawatan seperti Ketua Pengarah SPRM dan Peguam Negara di kalangan individu yang bebas dari pengaruh parti politik.
  5. Dalam melaksanakan Keadilan undang-undang, bukan sahaja perlu dilaksanakan keadilan semata-mata, tetapi ia hendaklah juga dilihat sebagai adil oleh rakyat.
  6. Kerana itu pelantikan badan-badan pelaksana undang-undang ini perlu dilihat bermerit dan mampu memberi keadilan sewajarnya kepada semua tanpa mengira latarbelakang politik.
  7. Meskipun tiada dalam manifesto, namun saya percaya bahawa kerajaan baru diterajui Perikatan Nasional ini boleh melaksanakan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) sebagaimana dinanti-nantikan oleh rakyat.
  8. Dengan cadangan-cadangan tersebut, saya percaya ianya boleh mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi pelaksana kehakiman dan perundangan di negara ini.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)