1. Perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hari ini dan Peguam Negara Tommy Thomas minggu lalu sebaik sahaja jatuhnya Kerajaan PH adalah satu isyarat jelas kepada rakyat bahawa lantikan-lantikan yang dibuat kerajaan PH sebelum ini berasaskan kepentingan politik, bukannya merit.
  2. Kedudukan penjawat awam mengikut undang-undang merupakan individu yang menjalankan kerja-kerja eksekutif yang mana badan eksekutif negara ini adalah diketuai oleh Yang Di-pertuan Agong. Mereka seharusnya bekerja untuk kerajaan, bukannya untuk parti
  3. Maka benarlah apa yang dirisaukan oleh Pemuda UMNO sebelum ini bahawa pelantikan-pelantikan jawatan penting melibatkan penguatkuasaan undang-undang ini akan menjadikan badan pelaksana undang-undang sebagai wayang dan “puppet” semata-mata jika pada hakikatnya ia dikuasai oleh parti-parti politik.
  4. Saya amat bersetuju dengan 5 cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini antaranya untuk meletakkan SPRM di bawah kuasa Parlimen dan untuk melantik jawatan-jawatan seperti Ketua Pengarah SPRM dan Peguam Negara di kalangan individu yang bebas dari pengaruh parti politik.
  5. Dalam melaksanakan Keadilan undang-undang, bukan sahaja perlu dilaksanakan keadilan semata-mata, tetapi ia hendaklah juga dilihat sebagai adil oleh rakyat.
  6. Kerana itu pelantikan badan-badan pelaksana undang-undang ini perlu dilihat bermerit dan mampu memberi keadilan sewajarnya kepada semua tanpa mengira latarbelakang politik.
  7. Meskipun tiada dalam manifesto, namun saya percaya bahawa kerajaan baru diterajui Perikatan Nasional ini boleh melaksanakan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) sebagaimana dinanti-nantikan oleh rakyat.
  8. Dengan cadangan-cadangan tersebut, saya percaya ianya boleh mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi pelaksana kehakiman dan perundangan di negara ini.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)

Kenyataan Media: Laporan Polis NGO Melayu Terhadap Rafizi Ramli

28 Februari 2020

  1. Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkenaan posting beliau pada 26 Februari lalu di Twitter yang menghina Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
  2. NGO yang hadir ialah Pertubuhan Profesional Nasionalis (Pro-Nation), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kelantan dan Angkatan Generasi Melayu Muda (AGENDA).
  3. Laporan Polis dibuat oleh Nik Saiful Adli Burhan, Presiden Pertubuhan Profesional Nasionalis (Pro-Nation) yang juga merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir ialah Pengerusi GPMS Kelantan, Azwan Mat Hussain dan ahli-ahli jawatankuasa NGO-NGO terlibat
  4. Ianya berikutan posting pada 26/2/2020 oleh Rafizi Ramli di Twitter beliau yang menghina pemberian makanan oleh Yang Di-pertuan Agong kepada petugas media sebagai tidak berkhasiat dan boleh merosakkan daya ingatan.
  5. Selanjutnya beliau turut pada hari sama memuatnaik status Twitter menghina peranan Yang Dipertuan Agong menemubual Ahli-ahli Parlimen untuk menentukan sokongan terhadap kerajaan sebagaimana kuasa Baginda yang diperuntukkan oleh perlembagaan Persekutuan.
  6. Saya berpandangan bahawa posting di laman sosial sebegini adalah budaya yang tidak sihat di kalangan pengguna media sosial sehingga tidak lagi boleh diterima akal yang waras, lebih-lebih lagi beliau seorang berbangsa Melayu.
  7. Malaysia ialah sebuah negara dengan sistem kerajaan Raja Berpelembagaan yang sewajarnya semua pihak hormati sekurang-kurangnya sebagai memenuhi tanggungjawab dan kewajipan rakyat untuk menghormati Perlembagaan.
  8. Tindakan memerli, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan Yang Dipertuan Agong bukan sahaja biadap terhadap institusi Raja-raja Melayu tetapi merupakan satu perbuatan jenayah terhadap negara
  9. Atas dasar itu, laporan polis dibuat supaya individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan komunikasi untuk tujuan penyebaran maklumat jelik dan menghina serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan Yang Dipertuan Agong dengan perkataan.
  10. Sekiranya perbuatan ini berterusan, ia akan menjadi satu budaya yang tidak beradap, kurang ajar dan melawan ketamadunan manusia seterusnya menjadi sebahagian daripada acuan membentuk budaya rakyat Malaysia generasi akan datang.
  11. Pro-Nation, GPMS dan AGENDA amat berharap suatu tindakan diambil supaya rakyat Malaysia tidak memandang ringan terhadap bidang kuasa dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  12. Kami rakyat Malaysia menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas peranan baginda menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Negara dalam menstabilkan negara dalam keadaan Malaysia tidak berkerajaan sehari dua ini. DAULAT TUANKU!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Presiden Pertubuhan Profesional Nasionalis (Pro-Nation)
merangkap Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Rule of Law PH Hanya Mampu Bertahan 4 Bulan!

  1. Selepas kira-kira 4 bulan bertaihan sejak Oktober 2019, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini dilaporkan akhirnya telah menarik balik juga pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau dikenali sebagai SOSMA, terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti dan sokongan terhadap Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebuah pertubuhan yang diharamkan di negara ini.
  2. Secara ringkas, alasannya, keputusan muktamad itu dibuat selepas melihat tidak ada prospek jelas untuk sabitan ke atas mana-mana 34 pertuduhan dikenakan. Benar! Mana mungkin ada prospek bagi mana-mana kesalahan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan. Ia bertentangan dengan Prinsip Rule of Law mereka!
  3. Alasan-alasan bagi keputusan hari ini diberikan Tommy Thomas dalam kenyataan beliau di Astro Awani di pautan http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kenyataan-penuh-peguam-negara-tommy-thomas-berhubung-perbicaraan-ltte-231349.
  4. Sebagai seorang Peguam Jenayah, saya melihat alasan-alasan itu sesuai digunakan sebagai hujah Peguambela jika suatu masa nanti 12 individu tersebut dituduh semula dan menjalani perbicaraan yang adil di mahkamah.
  5. Alasan-alasan seperti itu lazimnya keluar dalam hujahan Peguambela, atau sekurang-kurangnya melalui representasi peguam, bukannya oleh seorang Peguam Negara atau Pendakwaraya.
  6. Saya tahu Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa mutlak kepada Peguam Negara menarik balik pertuduhan di Mahkamah. Semua rakyat Malaysia tahu ia kuasa Peguam Negara. Tak payah cerita. Benarlah kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, KREDIBILITI TOMMY THOMAS MAKIN PUNAH DI MATA RAKYAT!
  7. Saya tertarik dengan alasan Tommy Thomas yang menyebut : “Ia adalah bercanggah dengan kepentingan awam bagi 6 orang ini dibicarakan pada 2020 kini untuk kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan 6 tahun lepas. Peredaran masa adalah tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini.”
  8. Setahu saya, semasa menjadi Peguam, Tommy Thomas bukanlah peguam yang menjalankan amalan guaman bagi kes-kes Jenayah. Mungkin kerana itu beliau terikut-ikut dengan had masa 6 tahun sebagaimana had masa kes sivil dalam Akta Had Masa 1953.
  9. Saya ingin ingatkan Tommy Thomas jika beliau terlupa atau tak tahu. TIADA HAD MASA DALAM KES JENAYAH!
  10. Saya cadangkan, Tommy Thomas letak jawatan sebagai Peguam Negara, dan menjadi Peguambela jika betul-betul berminat menentang kes yang dituduh oleh Jabatan Peguam Negara dan bercanggah pandangan dengan pihak penyiasat dari PDRM berkenaan LTTE serta kes-kes jenayah melibatkan ahli dan pemimpin PH sebelum ini.
  11. Saya boleh bagi sampel hujahan dan contoh surat representasi jika beliau nak belajar!

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Sekretariat Peguam Muda)

k

TAK PUAS LAGIKAH SYED SADDIQ MASUK MAHKAMAH?

  1. Belum tamat lagi sesi soal balas peguam terhadap YB Syed Saddiq dalam kes ‘koyak tisu’ melibatkan PapaGomo,  sudah timbul kes baru hari ini. Kalau tahun lepas suspek hanya PapaGomo seorang, hari ini beliau mungkin mahu 200 orang UMNO lagi masuk lokap melihat kepada tuduhan beliau dalam kenyataan di Facebook.
  2. Sekretariat Peguam Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius tuduhan yang dilemparkan oleh YB Syed Saddiq terhadap UMNO mengenai insiden yang berlaku kepada beliau semalam.
  3. Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah memberi amaran kepada Syed Saddiq untuk memohon maaf kepada ahli-ahli UMNO secara terbuka atas tuduhan tidak berasas tersebut, atau akan menghadapi saman sivil di mahkamah.
  4. Tuduhan liar sebegini tidak menggambarkan beliau seorang yang professional dalam berpolitik apatah lagi dengan kedudukan beliau sebagai seorang Menteri.
  5. Kata-kata fitnah sebegitu jelas menunjukkan akhlak pemuda Pakatan Harapan yang sentiasa berniat jahat terhadap parti lawan tanpa menghormati undang-undang dan prinsip moral manusia yang bertamadun.
  6. Seluruh kepimpinan dan ahli UMNO boleh terkesan dengan kejatuhan reputasi dan keaiban akibat kata-kata fitnah tersebut yang merujuk secara jelas kepada parti UMNO, sekalipun rata-rata netizen hanya menganggap ianya semata-mata sambungan episod Drama Tisu Koyak Siri ke-2.
  7. Pemuda UMNO melalui pasukan peguam kami akan menghantar Notis Tuntutan kepada YB Syed Saddiq menuntut supaya kata-kata fitnah terhadap UMNO dikeluarkan dari status Facebook beliau dan menuntut YB Syed Saddiq meminta maaf secara terbuka kepada seluruh ahli-ahli UMNO atas fitnah jahat tersebut.
  8. Sekretariat Peguam Muda PPUM juga akan memfailkan tuntutan di Mahkamah melalui saman sivil seandainya YB Syed Saddiq gagal atau mengabaikan Notis Tuntutan tersebut.
  9. Kami berpegang teguh dan percaya kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan prinsip ‘Nobody Is Above The Law’ meskipun tiada tercatat dalam manifesto.
  10. Mungkin juga Syed Saddiq belum puas naik turun mahkamah sehingga terpaksa mencipta kes-kes baru!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN

Exco Pemuda UMNO Malaysia
merangkap Ketua Sekretariat Peguam Muda
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

SKANDAL PERLUPUSAN ASET THP: PENGKHIANATAN KEPADA 9.4 JUTA PENDEPOSIT TABUNG HAJI

Pada sebelah petang tadi, saya dan rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengadakan satu sidang akhbar bagi mengulas isu penjualan anak-anak syarikat milik TH Plantation Berhad (THP) kepada syarikat swasta.

(a) Selaku salah seorang pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH), penjualan tanah-tanah yang dilakukan oleh THP, sebuah syarikat subsidiari TH dengan 73.84% pegangan saham di dalam THP perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi bagi 9.4 juta pendeposit.

Transaksi penjualan dua anak syarikat milik penuh THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) dengan harga jualan sebanyak RM170 juta kepada syarikat swasta, TAMACO Plantation Sdn Bhd amat mencurigakan. Semakan kami mendapati 5 pengarah TAMACO adalah Lim Sing Hua, Lim Chun Leng, Lim Wai Foong, Lim Chun Hsiung dan Lee Ban Loong

Semakan nilai buku (Book Value) bagi kedua-dua BSV dan MW pada tahun 2017 adalah RM380 juta. Dengan harga jualan yang dipersetujui di antara THP dan TAMACO iaitu RM170 juta tunai, THP sanggup menelan ‘kehilangan’ RM210 juta jika nilaian buku 2017 digunapakai. Namun apabila THP menukar jurunilai dan memakai kaedah penilaian baru pada tahun 2018, nilaian tersebut menurun kepada RM122 juta. Situasi ini membangkitkan persoalan mengapakah jurunilai ditukar dan apakah asas andaian yang digunapakai bagi menurunkan nilai buku BSV dan MW?

(b) Saya dan rakan-rakan juga turut membangkitkan persoalan akan keperluan syarikat-syarikat BSV dan MW ini dijual tatkala harga Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (CPO) berada di paras tinggi dan stabil jika dibandingkan dengan harga tahun 2018 dan 2019.

Semakan di dokumen THP yang difailkan di Bursa Malaysia sendiri menyatakan bahawa lebih 75% tanah ladang milik BSV dan MW telah ditanam pokok sawit dan profil umur pokok adalah diantara 5 hingga 11 tahun. Sumber yang sama juga menyatakan bahawa kadar pengeluaran (yield) sawit di ladang-ladang ini berada di dalam trend menaik.

Alasan yang difailkan di Bursa Malaysia bahawa penjualan ini adalah sebahagian dari program rasionalisasi kewangan THP dengan merendahkan jumlah hutang semasa THP, adalah tidak masuk akal!

Semakan pada Laporan Tahunan THP tahun 2018 mendapati, Hutang & Pinjaman THP berjumlah RM1.24 bilion dan RM1 bilion daripadanya adalah Sukuk yang dilanggan oleh TH sendiri.

Sekiranya THP mengalami kesukaran untuk menyelesaikan komitmen hutang yang dijadualkan, THP boleh berunding kembali dengan TH untuk penstrukturan semula bayaran kembali Sukuk atau meminta bantuan kewangan dari TH dan Kementerian Kewangan (MOF) seperti amalan yang biasa sebelum ini.

Tuntasnya, penjualan BSV dan MW ini menimbulkan banyak persoalan dan diragui justifikasinya.

Justeru, saya dan rakan-rakan Pemuda UMNO mengemukakan 3 TUNTUTAN iaitu:

  1. YB Menteri di JPM, Dato Dr Mujahid Yusof Rawa tidak boleh lagi menyepi dan harus tampil mengambil tanggungjawab bagi pihak 9.4 juta pendeposit sebagaimana dikehendaki dalam Akta Tabung Haji berkenaan dengan perlupusan aset-aset THP ini.
  2. THP harus segera menghentikan penjualan baki 11 anak syarikat yang memiliki ladang-ladang sawit atau pihak Pemuda UMNO meneliti untuk mengambil tindakan injunksi mahkamah oleh pendeposit TH.
  3. Pemuda UMNO telah membuat laporan Polis dan seterusnya selepas ini kepada SPRM untuk segera menyiasat keputusan menukar jurunilai dan kaedah nilaian yang menyebabkan nilaian syarikat-syarikat yang menjadi pemilik ladang-ladang sawit bernilai ini hilang sebanyak RM210 juta.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

24 Januari 2020