1. Rupa-rupanya kemasukan haram abu mayat Chin Peng ke dalam negara ini bukanlah abu orang mati sebagaimana difahami oleh rakyat Malaysia, ianya masuk bersama roh jahat komunis, cuba menghidupkan kembali perjuangan-perjuangan haram yang pernah hampir membunuh sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini.

2. Semalam sebuah portal berita melaporkan himpunan 300 penyokong komunis berhimpun mengenang jasa pejuang komunis dalam satu perhimpunan di kolej swasta di Kajang.

3. Jelas, ianya satu isyarat kepada rakyat Malaysia bahawa komunis bukanlah bersembunyi dalam hutan, mereka sebenarnya berada di bandar dan sedang menguasai bandar!

4. Insiden kesilapan jalur gemilang berbintang 5, bintang komunis, jalur gemilang diwarnakan hitam, bendera Malaysia terbalik, semuanya bukanlah satu kebetulan. Ianya semata-mata memberi gambaran kepada rakyat Malaysia bahawa mereka kembali!

5. Pengagihan Komik-komik propaganda Komunis di sekolah yang jelas menyalahi undang-undang dan membawa ideologi bertentangan dengan perlembagaan disokong oleh pemimpin parti yang memerintah negara. Lim Kit Siang secara terbuka menentang pengharaman komik “Inisiatif Jalur dan Jalan: Meraih Manfaat Bersama.”

6. Jika benar negara masih menganggap Komunis ialah pengganas dan pertubuhan haram negara ini, maka bertindaklah sebagaimana yang sepatutnya terhadap pengganas. Tidak perlu tunggu sehingga ada gerakan yang lebih besar.

7. Saya menggesa pihak Polis segera mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana cubaan membawa ideologi komunisme kembali ke dalam negara ini. Dari sekecil-kecil propaganda dalam komik dan posting di media sosial, tak mustahil akhirnya boleh membawa kepada gerakan bersenjata dan aktiviti keganasan yang lebih serius!

8. Propaganda mereka bukan lagi dalam poster dan buku seperti 60 tahun dahulu yang mudah dikesan. Komunis moden guna Facebook dan Twitter. Apatah lagi ada yang berani berkumpul dan membuat gerakan secara terbuka.

9. Undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang menjadi kontroversi tidak perlu digunakan dalam menangani komunis. Kita sudah ada seksyen 130J Kanun Keseksaan untuk menangani sebarang sokongan kepada kumpulan pengganas yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup. Itupun jika benar kerajaan hari ini masih menganggap Komunis sebagai pengganas.

10. Seksyen 121A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati kepada mana-mana orang yang melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Gerakan yang membawa ideologi komunisme boleh dikira melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang ini kerana ianya sebuah gerakan yang membawa kepada perubahan sistem negara termasuk mengeluarkan Yang Dipertuan Agong daripada sistem pemerintahan.

11. Maka seharusnya Polis Diraja Malaysia segera bertindak menyiasat semua cubaan membawa ideologi komunisme tak kira sekecil mana sekali pun.

12. Ingat! Komunis dahulunya bukanlah pasukan tentera mahupun pengganas bawah tanah, mereka bermula dengan sebuah parti politik!

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM.