Hormati Arahan Kod Pakaian Berkabung Di Kelantan Sebagai Satu Undang-undang

1. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Muhammad V, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Kelantan atas kemangkatan Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra pada hari Sabtu lalu.

2. Pada masa yang sama, saya melahirkan rasa kesal apabila membaca sebahagian ulasan dan hantaran di laman sosial dan aplikasi WhatsApp yang mempertikaikan arahan untuk berkabung selama 40 hari bagi majlis-majlis rasmi dan pejabat kerajaan.

3. Samada ulasan sebegitu berdasarkan logik akal semata-mata mahupun ada yang menggunakan hukum-hukum agama bagi menyatakan tentangan terhadap arahan pakaian semasa tempoh tersebut.

4. Saya ingin menjelaskan bahawa kod etika dan tatacara menghormati kemangkatan Sultan adalah termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan. Tidak sepatutnya sesuatu yang telah menjadi undang-undang dipertikaikan oleh rakyat semata-mata dengan tentangan sembrono tanpa pengetahuan yang jelas tentang undang-undang.

5. Adalah tidak wajar membandingkan arahan kod etika pakaian yang diperuntukkan undang-undang ini dengan hukum Islam berkenaan tempoh masa berkabung. Apa yang disebut oleh Islam adalah tempoh berkabung yang sebenar menurut agama, berbeza dengan peraturan berpakaian oleh pemerintah. Sama juga dengan arahan memakai tali leher ke pejabat, memakai kot hitam ke mahkamah dan memakai uniform bagi pasukan keselamatan, mengapa tidak semuanya dipertikai?

6. GPMS terpanggil untuk menasihati samada rakyat Kelantan mahupun orang lain yang masuk ke negeri ini untuk menghormati kod etika berpakaian semasa tempoh 40 hari ini serta mengelakkan diri dari memberi ulasan mahupun memanjangkan apa-apa mesej negatif berkenaan hal ini.

7. Perlu diingatkan bahawa Sultan dan Raja adalah Ketua Negeri dan Pemerintah tertinggi, bukan sahaja menjadi Raja kepada orang Melayu tetapi Raja kepada semua rakyat. Maka, hormatilah sistem pemerintahan negara ini yang diasaskan bersistem Raja Berpelembagaan sebagaimana kita menghormati keseluruhan sistem yang membentuk negara ini.

8. Pada masa yang sama GPMS berharap pihak Polis dan Suruhanjaya Komuniti dan Multimedia Malaysia memantau semua ulasan-ulasan dan perkongsian di laman sosial yang bersifat menentang penghormatan kepada institusi raja serta mengambil tindakan yang sewajarnya keatas individu yang biadap terhadap undang-undang negara ini.

9. Seluruh Jawwtankuasa GPMS Malaysia, Negeri-negeri dan Cawangan merafakkan sembah takziah dan mendoakan semoga Almarhum Sultan Ismail Petra diberi keampunan dan kerahmatan oleh Allah SWT serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

HJ. NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Naib Presiden GPMS Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *