Keputusan Inkues Adib Bukan Penamat Episod Jenayah

27 September 2019

1. Keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali seharusnya membawa kepada episod baru kes ini.

2. Saya mewakili komuniti pegamal undang-undang dalam Pemuda UMNO Malaysia amat menyokong desakan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tindakan susulan daripada keputusan mahkamah hari ini disegerakan termasuk mengesan pelaku kejadian, menyiasat dalang di sebalik hasutan-hasutan jahat kepada kaum India hingga mencetuskan tragedi rusuhan di kuil serta untuk Peguam Negara, Tommy Thomas bertanggungjawab ke atas kenyataan beliau yang mendahului keputusan mahkamah sebelum ini yang jelas secara undang-undang menyalahi proses perlaksanaan keadilan.

3. Selain tugasan utama pihak polis untuk menyiasat siapa pembunuh dalam kes ini, Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia berpandangan secara profesional atas dasar prinsip undang-undang jenayah bahawa masih terdapat isu yang harus disiasat pihak polis ataupun suatu suruhanjaya yang bebas berkaitan 3 isu penting rentetan daripada keputusan mahkamah hari ini.

4. Pertama, sebagaimana desakan Dr Asyraf Wajdi untuk dalang di sebalik kejadian rusuhan itu disiasat. Rusuhan kaum sebegini tidak mungkin tercetus seandainya pihak yang melakukan provokasi kepada kaum India ini bertindak secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang. Sebaliknya perbuatan membakar semangat perkauman inilah menjadi punca utama tragedi di Kuil Sri Maha Mariamman.

5. Kedua, pembebasan suspek-suspek kes ini dengan jaminan polis adalah suatu proses yang luar biasa terutama melibatkan kes pembunuhan. Bagaimana dengan usaha mengesan semula suspek-suspek selepas kematian arwah Adib? Rakyat tertanya-tanya apakah kaedah yang dibuat pihak berkuasa dalam memastikan suspek kekal berada dalam negara? Walaupun jaminan polis adalah kuasa mutlak polis yang dibenarkan undang-undang, namun ianya semata-mata kerana tidak ada arahan untuk pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara.

6. Dan yang ketiga, semestinya semua ini berbalik kepada peranan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan juga menjalankan kuasa Pendakwaraya. Daripada awal lagi tiada arahan pendakwaan, seterusnya dengan campur tangan dalam inkues yang prejudis terhadap kes, maka apakah peranan ini sewajarnya dimainkan oleh Peguam Negara?

7. Atas sebab itu, mana-mana pengamal undang-undang yang mengikut prinsip kedaulatan undang-undang yang sebenar akan berpandangan bahawa Peguam Negara telah gagal memainkan peranan sewajarnya sejak dari awal kes ini.

8. Maka amat bertepatan saranan Ketua Pemuda UMNO Malaysia agar Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara dan tidak lagi campur tangan dalam siasatan mahupun prosedur undang-undang melibatkan kes ini.

9. Jika tidak, maka sia-sia sahaja prosiding inkues selama 41 hari dijalankan seandainya keputusan hari ini hanyalah di atas kertas semata-mata.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *