Jangan Buka Kewarganegaraan Melalui Pintu Belakang

Jangan Buka Kewarganegaraan Melalui Pintu Belakang

1. Saya merujuk kepada penjelasan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pertemuan tertutup 6 Pemimpin DAP dengan beliau berkenaan syarat-syarat dan prosedur permohonan kewarganegaraan.

2. Meskipun dinafikan, namun Pemuda UMNO merasakan kekhuatiran yang ditimbulkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki ada asas yang kukuh dan pihak-pihak yang mengadakan pertemuan tertutup tersebut wajar menjawab dengan lebih jujur lebih-lebih lagi ianya berkaitan asas penting dalam perlembagaan dan pembentukan negara.

3. Kenyataan Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh yang memberi gambaran bahawa Kementerian Dalam Negeri sedang mengusahakan permintaan mereka menyelesaikan isu kewarganegaraan juga meletakkan tanda tanya mengenai apakah isu besar yang dihadapi 6 Pemimpin DAP sehingga pertemuan sedemikian begitu penting?

4. Ianya turut disokong tekanan oleh pemimpin DAP mengenai isu kewarganegaraan melalui kenyataan ADUN Pending, Violet Yong serta Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham sebagaimana disebut Dr Asyraf semalam.

5. Syarat kewarganegaraan adalah jelas dipaparkan dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara di alamat https://www.jpn.gov.my/maklumat-warganegara/permohonan-taraf-kewarganegaraan-di-bawah-perkara-19-perlembagaan-persekutuan-berumur-21-tahun-atau-lebih/

6. Sewajarnya Muhyiddin kongsikan pautan ke laman web tersebut agar boleh sama-sama dikongsikan dalam group WhatsApp pemimpin DAP. Itupun jika benar maklumat sebegitu yang mereka benar-benar inginkan daripada KDN. Saya fikir, pegawai kaunter depan JPN pun boleh membantu mereka.

7. Namun jika ada agenda lain melibatkan permohonan kewarganegaraan, ianya adalah suatu perbincangan yang amat serius dan memerlukan untuk sama-sama dibincangkan di parlimen.

8. Kewarganegaraan adalah melibatkan hak rakyat Malaysia sedia ada untuk dikongsi bersama. Ianya bukanlah semudah seperti meluluskan lesen memandu. Ianya proses membawa masuk individu luar menjadi rakyat negara ini, rakyat kepada Yang Dipertuan Agong, dan rakyat yang akan ada hak memilih kerajaan setiap 5 tahun.

9. Seandainya sekadar untuk kepentingan politik, atau strategi menambah pengundi, mahupun mengubah komposisi penduduk dalam negara ini, maka perbincangan sebegitu adalah suatu pengkhianatan kepada negara dan rakyat negara ini.

10. Saya percaya bahawa Muhyiddin yang telah lebih 2 dekad menjadi Menteri, mampu mempertimbangkan sewajarnya sesuatu keputusan sebelum meletakkan harga Kewarganegaraan Malaysia sebegitu murah.

11. Ingatlah, rakyat memilih Pakatan Harapan untuk bantu negara dan rakyat tambah pendapatan, bukan tambah warganegara!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *