Kes Rogol Exco Perak: Tommy Thomas Kena Buktikan Kredibiliti Atau Letak Jawatan

1. Kes rogol pembantu rumah melibatkan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak dari DAP, Paul Yong adalah satu ruang untuk Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan prinsip Rule of Law yang mereka sendiri janjikan dalam manifesto mereka.

2. Saya melihat ada asasnya desakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Tommy Thomas menyegerakan pertuduhan terhadap Paul Yong, mengambil kira perbandingan dengan kes melibatkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Melaka, Ma’on @ Yunus Abu Samah yang diambil tindakan lebih serius oleh pihak berkuasa. Lebih-lebih lagi ianya mendapat perhatian antarabangsa terutamanya Indonesia, negara asal mangsa dalam kes ini.

3. Desakan Pemuda UMNO ini bukanlah semata-mata mempolitikkan isu ini, tetapi atas dasar tidak mahu negara ini dilihat sebagai menyembunyikan pelaku jenayah, sebuah negara yang tidak selamat dan gagal memberi pembelaan sewajarnya kepada warga asing yang bekerja di negara ini.

4. Saya faham dan hormati keputusan pihak Polis untuk tidak menahan reman Paul Yong semasa siasatan, itu hak polis untuk menentukan kaedah siasatan dan risiko suspek melarikan diri semasa siasatan. Tetapi kini kertas siasatan yang telah sempurna telah sampai kepada pihak Pendakwaraya untuk arahan. Apa sudah jadi kepada kertas siasatan tersebut?

5. Pada peringkat ini, satu-satunya pihak yang berkuasa ke atas kertas siasatan itu adalah Pendakwaraya. Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa mutlak kepada Peguam Negara merangkap Pendakwaraya untuk mengarahkan pertuduhan dibuat di mahkamah. Semuanya di tangan Tommy Thomas dan saya pasti tiada Pendakwaraya lain di negeri Perak yang berani melangkaui arahan beliau.

6. Atas sebab ini lah Dr Asyraf Wajdi serta Pergerakan Pemuda UMNO secara konsisten menentang pelantikan Peguam Negara berkiblatkan parti politik.

7. Jika benar Tommy Thomas adalah Peguam Negara, bukannya Peguam PH, maka segerakan pertuduhan terhadap Paul Yong. Jika tidak sanggup, maka Tommy Thomas harus meletakkan jawatan dan serahkan kuasa kepada orang lain yang lebih bebas. Beranikah Tommy?

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)