1. Saya merujuk kenyataan media oleh 4 orang Ketua Pemuda daripada parti komponen Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Howard Lee, Akmal Nasrullah Mohd Nasir and Mohd Sany Hamzan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji Wan Hussin dan menaikkan hukuman penjara kepada 12 bulan.

2. Perbuatan mereka mempersoalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi adalah suatu kesalahan menghina mahkamah dan boleh dihukum penjara

3. Aturan 52 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 menetapkan bahawa suatu prosiding untuk perintah hukuman terhadap pelaku menghina mahkamah, atau disebut sebagai Perintah Pengkomitan boleh dibuat samada oleh Mahkamah sendiri atau difailkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kausa atas kes tersebut.

4. Dalam hal ini, Pendakwaraya mempunyai hak untuk menfailkan permohonan kepada mahkamah untuk perintah tersebut terhadap keempat-empat Ketua Pemuda yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah.

5. Tommy Thomas seharusnya bertindak segera sebagai pihak yang mempunyai kausa atas kes ini lebih-lebih lagi apabila kenyataan media Pemuda PH turut mengkritik dan mendesak pihak Pendakwaan menjelaskan tindakan mereka memohon hukuman berat terhadap Wan Ji. Tommy masih berpeluang membuktikan beliau adalah Peguam Negara, bukanlah Peguam PH.

6. Penghinaan terhadap mahkamah ini dianggap serius apabila ianya mampu merosakkan dan mencampuri tadbir urus sistem keadilan dalam mahkamah. Apatah lagi pertikaian yang ditimbulkan boleh melemahkan keyakinan umum terhadap keadilah mahkamah dan tadbir urus keadilan.

7. Saya mengulangi pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa DAP tidak wajar mengajak rakyat bersolidariti keatas pesalah yang sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah, lebih-lebih lagi ianya kesalahan penghinaan terhadap institusi Raja yang menjadi payung kepada negara dan pemelihara agama Islam.

8. Jika sewaktu menjadi pembangkang, Pakatan Harapan tegar menentang undang-undang, kini sebagai kerajaan mereka masih mempertikaikan sistem perundangan dan keadilan negara. Maka sememangnya mereka bukanlah rakyat yang patuh kepada undang-undang / Law Abiding citizen!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)