UMNO Mampu Selamatkan PPBM Daripada Menjadi Parti Minoriti

UMNO Mampu Selamatkan PPBM Daripada Menjadi Parti Minoriti

7 Julai 2019

1. Saya amat bersetuju dengan pandangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Tun Dr Mahathir bersama kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai UMNO dan seterusnya bersama-sama muafakat ummah antara UMNO dan PAS sekiranya benar-benar mahu menyelamatkan Melayu daripada perpecahan.

2. Dr Asyraf yang membalas pelawaan Tun Mahathir untuk semua parti Melayu menyertai PPBM amat rasional untuk menawarkan parti politik sekecil PPBM menyertai gabungan kerjasama parti yang lebih besar antara UMNO dan PAS.

3. Melihat kepada analisis pilihan raya umum 2018, jumlah undi Melayu kepada BN dan PAS adalah hampir 75%. Maka wajarlah disimpulkan bahawa parti-parti inilah yang menjadi pilihan orang Melayu dan tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan perpecahan orang Melayu.

4. Secara peribadi saya melihat bahawa Tun Mahathir tidak sesuai bercakap mengenai perpaduan Melayu, melihat kepada sejarah perpecahan pada zaman Semangat 46, krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, perpecahan sewaktu penubuhan PKR dan PPBM pada hari ini yang menjadi faktor perpecahan parti politik Melayu di negara ini.

5. Jika semata-mata untuk menjadi sebahagian agenda peribadi PPBM menentang team Anwar Ibrahim yang tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri ke-8, rasanya tidak perlulah menggunakan seruan perpaduan Melayu. Ianya bukanlah perpaduan sebagaimana UMNO dan PAS sedang usahakan.

6. UMNO tidak akan terlibat dengan mana-mana krisis dalaman Pakatan Harapan. Cukuplah tumpuan UMNO kepada perpaduan Melayu melalui kerjasama UMNO dan PAS.

7. Rakyat Malaysia sudah muak dengan cerita Mahathir dan Anwar. Sudah 21 tahun drama bersiri ini tak pernah habis.

8. Jika benar Tun Mahathir betul-betul mahukan perpaduan orang Melayu, belum terlambat rasanya untuk PPBM menyertai UMNO. UMNO sedia selamatkan PPBM daripada menjadi parti minoriti Melayu!

NIK SAIFUL ADLI BIN BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *