Jangan Gunakan Kursus Perdana Haji Sebagai Medan Menghasut Rakyat

24 Jun 2019

1. Semalam Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan mengenai risalah-risalah berbentuk hasutan mengenai penyelewengan Tabung Haji yang diedarkan kepada bakal jemaah haji yang menyertai Kursus Perdana Haji yang bermula minggu ini.

2. Belum lagi terbukti apa-apa penyelewengan yang didakwa, kesemua fitnah-fitnah jahat ini telah disebarkan kepada jemaah. Apa motif sebenar kerajaan menggunakan jalan sebegitu sedangkan kursus haji sepatutnya menekankan soal ibadah dan persediaan jemaah menghadapi cabaran hampir dua bulan di tanah suci.

3. Sejak April lalu, Dr Asyraf Wajdi konsisten mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kesemua dakwaan terhadap pentadbiran Tabung Haji, lebih-lebih lagi ianya dikatakan berlaku pada zaman beliau sebagai Timbalan Menteri yang menjaga Tabung Haji. Tuduhan-tuduhan yang serius sebegini bukanlah boleh disiasat di kedai kopi sebagaimana berlaku hari ini.

4. Seharusnya semua tuduhan ini disiasat melalui saluran yang sah di sisi undang-undang, bukannya melalui lontaran fitnah-fitnah jahat sebegini yang hanya membentuk persepsi negatif bukan sahaja kepada Tabung Haji, malah kepada Kerajaan sendiri.

5. Sekalipun tidak mahu melalui RCI, kita ada saluran mahkamah dan saya percaya sistem perundangan negara ini amat telus menyiasat kes-kes sebegini, melainkan jika kerajaan takut lebih banyak kebenaran yang terbongkar tidak menyebelahi fitnah mereka.

6. Sekalipun untuk menutup kelemahan kerajaan hari ini, risalah-risalah berbentuk fitnah seperti ini takkan mampu memadam sejarah bahawa kerajaan PH memberikan hibah Tabung Haji paling rendah, tidak setanding dengan kelantangan mereka mengkritik.

7. Saya nasihatkan pengurusan Tabung Haji terutama kepada Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof untuk berhenti menghentam kerajaan terdahulu dengan cara pengecut sebegini. Sebaiknya Mujahid bekerja lebih kuat lagi supaya Tabung Haji mampu memberikan hibah kepada jemaah dan pendeposit setanding kerajaan terdahulu.

Nik Saiful Adli Burhan
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)

Kenyataan Media Exco Pemuda UMNO Malaysia

Cerita 1MDB Buat Tutup Krisis Dalaman PH; KP SPRM Mainkan Peranan Dengan Baik

21/06/2019

1. Permainan politik Pakatan Harapan hanyalah semudah formula campur tolak matematik. Rakyat boleh menjangka segala kesudahan cerita mereka, tak ubah seperti drama Melayu bersiri.

2. Hari ini Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Latheefa Koya sudah mula dilihat bekerja menyerang 1MDB. Senarai 41 syarikat dan individu yang dikeluarkan SPRM hari ini kebanyakannya ialah yang berkaitan dengan UMNO termasuk UMNO Negeri dan Bahagian.

3. Kerajaan PH dilihat sudah kehabisan modal apabila kembali bermain isu 1MDB yang sudah tak laku di mata rakyat. Masing-masing sudah kepanasan melihat kerjasama UMNO dan PAS dalam muktamar minggu ini.

4. Selepas setahun akaun-akaun berkaitan UMNO dibekukan, masih belum jumpa apa-apa. Maka eloklah SPRM tumpukan kepada kes lain pula.

5. Kalaulah menimbulkan isu 1MDB ini semata-mata untuk alihkan perhatian rakyat daripada cerita lucah yang dikaitkan Azmin Ali dan Haziq, rasanya mereka boleh fikir sendiri drama mana yang lebih menarik penonton.

6. Tetapi jika mereka merasakan isu 1MDB ini masih boleh diulang tayang bagi menutup krisis dalaman antara parti-parti komponen PH, mereka silap. Saya nak ingatkan mereka dengan perumpamaan Melayu, bangkai gajah takkan mungkin boleh ditutup dengan nyiru. Walau tak kelihatan bangkai, baunya pasti ada.

7. Lebih ironik, pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM benar-benar menepati jangkaan ramai iaitu menjadikan SPRM alat politik PH. Banyak lagi kes rasuah lain untuk disiasat, mengapa parti politik lawan juga yang menjadi sasaran. Bagaimana dengan kes terowong dasar laut? Bagaimana dengan rasuah dalam pemilihan PKR baru-baru ini yang beliau sendiri dedahkan?

8. Banyak lagi isu rasuah dalam PH termasuk melibatkan Setiausaha Politik Mat Sabu, pembelian Merdeka Palace Sarawak dan arahan penyaluran dana kepada parti oleh Menteri yang didedahkan KP SPRM sebelum ini. Jelas bahawa meletakkan jawatan parti takkan menjadikan Latheefa Koya bebas dari PKR dan PH.

9. Pada 9 Jun lalu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Latheefa Koya menyiasat 7 isu rasuah terbesar yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan. Namun semuanya didiamkan begitu sahaja. Akhirnya parti lawan juga yang menjadi sasaran.

10. Satu persatu badan penguatkuasa kerajaan dijadikan alat politik untuk menguburkan UMNO. Akhirnya prinsip Rule of Law mereka yang terkubur. Mungkin selepas ini mereka mahu gunakan JPJ periksa cermin gelap UMNO? Ataupun mungkin gunakan Kementerian Kesihatan pula untuk periksa nyamuk belakang rumah orang UMNO! Tak mustahil.

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Exco Pemuda UMNO Malaysia
(Pengerusi Kluster Peguam Muda PPUM)